PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur perkhidmatan awam agar kekal mampan, responsif dan sejajar dengan keperluan semasa negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut beliau bangkitkan sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025 pagi ini.
“Susulan kejayaan pelaksanaan SSPA Fasa 1 dan melalui proses libat urus yang berterusan, pelbagai cadangan inisiatif dasar baharu perkhidmatan awam telah dibincangkan.
“Ia termasuk mengenai mobiliti dan portabiliti penjawat awam, demi memastikan mereka lebih berdaya saing di masa hadapan,” tulis Anwar dalam hantaran terbaru di media sosial.
Beliau juga percaya pembaharuan itu harus dilaksanakan dengan teliti dan inklusif, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kebajikan penjawat awam, serta kemampuan fiskal negara. -KOSMO! ONLINE.