PETALING JAYA – Memenuhi impian insan tercinta, penyanyi Cat Farish membuat kejutan buat isterinya, Shikin Maembong yang sudah lama ingin memiliki premis perniagaan tetap.
Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 51, berkata, lot kedai di sebuah bangunan di Melawati yang dihadiahkan kepada wanita terbabit merupakan tanda sokongan atas kerja keras selama ini.
“Tak rugi habiskan duit untuk isteri, Ini sahaja yang saya mampu untuk bahagiakan awak.
“Insya-Allah kita doa sama-sama rezeki cahaya mata pula lepas ni ya sayang.
“Terima kasih ada ketika susah dan senang saya,” katanya dalam perkongsian video di aplikasi TikTok.
Menurut komposer terbabit, dia melihat cabaran dilalui Shikin sepanjang mengusahakan gerai tepi jalan menjual produk makanan di bawah jenama Cekopis.
Katanya, dengan premis tetap itu perusahaan goreng pisang isterinya itu dapat berjalan lancar selain mampu memenuhi permintaan menyediakan pakej lebih besar.
Pada masa sama, kakak kepada pelakon Emma Maembong itu tidak mampu menyembunyikan perasaan terharu atas pemberian berkenaan.
Bahkan, Shikin turut bersyukur dikurniakan teman hidup yang sanggup berkorban apa sahaja demi menggembirakannya.
Pada 2023 gerai pisang goreng pelakon itu pernah musnah dilanda ribut yang mengakibatkan Shikin kerugian RM20,000 bagi membaiki kerosakan. – KOSMO! ONLINE