SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Dr. Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi pembatalan tuntutan cukai RM313.8 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam S. Saravana Kumar yang mewakili Na’imah, 68, memaklumkan kebenaran itu selepas mahkamah berpendapat permohonan anak guamnya itu mempunyai merit.
“Mahkamah turut menyatakan permohonan Na’imah bukanlah remeh atau menyusahkan dengan kata lain ‘frivolous or vexatious’. Selain itu, terdapat persoalan undang-undang yang perlu didengar di peringkat substantif.
“Atas dasar itu, mahkamah telah membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, namun tarikh prosiding seterusnya belum ditetapkan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding hari ini.
Jelas beliau, pihaknya mempunyai masa selama dua minggu untuk menyampaikan notis kepada LHDN.
Prosiding hari ini berlangsung di hadapan Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman dengan Nai’mah selaku pemohon turut diwakili Peguam Dharshini Sharma manakala Peguam Persekutuan, Sheryn Yong hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagaimanapun, Na’imah tidak hadir hari ini.
Pada 18 Oktober tahun 2024 Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Na’imah membayar RM313.82 juta tunggakan cukai pendapatan kepada LHDN.
Sebelum itu, pada 19 Ogos tahun sama, Na’imah telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap notis LHDN untuk cukai tambahan berhubung tahun taksiran 2018 tersebut.
Dalam afidavit sokongannya, Na’imah mendakwa taksiran cukai terhadapnya adalah berdasarkan tuntutan yang tidak berasas. – KOSMO! ONLINE