KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung sindiket rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai di beberapa institusi kewangan dalam Ops Sky, telah lengkap dan dijangka dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, minggu hadapan.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang akhbar hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon agar satu keputusan dapat diambil dengan segera ekoran kes ini yang mendapat perhatian ramai.
“Siasatan sudah pun lengkap dan diperkemaskan. Dijangka dikemukakan kepada kepada TPR untuk kajian pada minggu hadapan.
“Saya harap jika tiada apa-apa inkuiri dalam kes ini, saya mohon dapat disegerakan dengan satu keputusan kerana rakyat ingin mengetahui kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) kali ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Terdahulu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Pembongkaran itu hasil serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di 24 lokasi sekitar Lembah Klang dengan melibatkan penahanan 12 individu.
Setakat ini, seramai 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam.
Selain itu, SPRM turut merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pinjaman bernilai RM700 juta kepada penjawat awam. – KOSMO! ONLINE