PETALING JAYA – Penat berdiam diri, pelakon Abby Abadi memaklumkan tidak akan berbaik kembali dengan bekas suaminya, Norman Hakim disebabkan sikap lepas tangan lelaki itu.
Dalam masa sama, Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, turut meluahkan kekesalan kerana membiarkan anak perempuannya, Marissa Dania lari ke pangkuan Norman setiap kali dimarahi.
“Norman memang melepaskan dirinya hingga sekarang, jadi saya rasa tiada sebab untuk berbaik, tiada keperluan. Saya baik pun orang ambil kesempatan.
“Kalau dapat putarkan masa, saya nak jaga sendiri anak saya. Tak perlu libatkan orang lain atau beri peluang kedua.
“Saya marah Marissa dia akan lari ke keluarga Norman. Lagi senang kalau dengan saya sebab kalau marah budak, dia tak pergi tempat lain.
“Bila ada anak pilihan dia tak dengar cakap kita, kalau kena marah dia suruh bapa dia lari,” katanya dalam sebuah siaran langsung.
Dedahnya lagi, Norman sering berlembut dengan Marissa selain memaklumkan lelaki itu enggan peduli perihal anaknya ketika awal perceraian mereka.
“Norman tidak kisah dengan apa yang Marissa buat, dia tak pernah marah, tampar atau pukul Marissa. Benda itu tidak berlaku.
“Selepas bercerai anak-anak semua dengan saya dan Norman tidak pernah ambil untuk jaga.
“Datang jumpa pun macam orang luar. Jenguk-jenguk sahaja,” jelasnya.
Bukan hanya itu, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu turut mendedahkan perkahwinannya dengan Norman terbina kerana lelaki itu kecewa dengan wanita lain.
“Saya rasa Norman bukan nak sangat kahwin dengan saya, mungkin dia tidak sengaja.
“Ketika itu dia ‘frust’ (kecewa) dengan orang lain tetapi tiba-tiba dia kahwin dengan saya.
“Saya kahwin dengan dia selama tujuh tahun sahaja tetapi kami memiliki tiga orang anak,” ujarnya.
Semalam, Abby menyelar segelintir individu yang menuduhnya sengaja membuka aib bekas suami berhubung isu tuntutan wang nafkah tiga anak mereka sejak bercerai.
Sejak beberapa hari lalu, Abby dalam media sosialnya lantang bersuara tentang isu nafkah tiga anaknya.
Dia turut mendakwa Norman mengabaikan tanggungjawab terhadap tiga anak mereka. – KOSMO! ONLINE