PETALING JAYA – Nestlé Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk melancarkan program SELKitar, fasa terbaharu Program Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu Nestlé Malaysia di bawah Projek Save, inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) terbesar di Malaysia.
Projek Save yang telah dilancarkan pada tahun 2020 itu adalah program besar-besaran yang sedang dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia bersama majlis-majlis perbandaran di sekitar Lembah Klang, yang turut diperluas ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Projek yang kini telah mencapai lebih 200,000 isi rumah itu telah berjaya mengelakkan lebih 33,000 tan sisa termasuk lebih 20,000 tan plastik daripada disalurkan ke tapak kambus tanah dan lautan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, syarikat kini percaya terhadap usaha mencipta nilai bersama amat penting dalam cara kami menangani cabaran alam sekitar.
“Program SELKitar merupakan peluasan bermakna bagi Projek Save yang sedang berjalan dan menzahirkan komitmen kami untuk menangani isu sisa plastik dan menggalakkan penggunaan sumber secara kitaran.
“Menerusi peluasan berterusan Program Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu, kami semakin hampir untuk mencapai wawasan mewujudkan negara Malaysia bebas daripada sisa plastik yang mana pembungkusan pasca pengguna diuruskan secara lestari melalui sistem kutipan yang berkesan.
“Kerjasama dengan KDEBWM mengukuhkan ikrar global Nestlé untuk mencapai keneutralan plastik menjelang 2025 dan memastikan tiada sisa pembungkusan kami menuju ke tapak kambus tanah atau laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Program SELKitar melaksanakan strategi kutipan disuai khas bagi komuniti kawasan terbuka dan juga kawasan berpagar serta berkawal, meningkatkan kecekapan operasi dan mendidik penduduk tentang pengasingan sisa.
Bahan boleh kitar semula dikutip secara berasingan daripada sisa domestik dan diangkut ke Kemudahan Pemulihan Bahan di Bukit Puchong untuk pengasingan dan pemprosesan semula, lantas mewujudkan sebuah ekonomi kitaran.
Penduduk juga akan menerima bahan CEPA (Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam) yang menggalakkan pendekatan satu saluran, membolehkan semua bahan kitar semula diletakkan dalam satu bekas untuk dikutip, sekali gus memudahkan penyertaan isi rumah.
Sebagai inisiatif EPR sukarela terbesar Nestlé Malaysia, Projek Save berganding bahu dengan majlis-majlis perbandaran tempatan, termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBSJ, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd dan rakan kitar semula KPT Recycle Sdn Bhd serta ESH Resource Management Sdn Bhd.
Inisiatif ini melibatkan empat projek kutipan sisa iaitu Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu untuk penghuni bandar, Program Kitar untuk perkampungan pinggir bandar, Kitar Semula Strata untuk kompleks kediaman dan pengumpulan sektor tidak formal. -KOSMO! ONLINE