MADRID – Tindakan berani Marc Marquez yang mencetuskan kekecohan di petak mula Grand Prix (GP) Americas baru-baru ini bukan sahaja menjadi bualan hangat, malah dijangka membawa kepada satu lagi perubahan dalam peraturan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Insiden itu tercetus apabila Marquez tiba-tiba meninggalkan petak pertama beberapa saat sebelum perlumbaan bermula, bagi menukar kepada jentera dengan tayar kering berbanding ketika mula berbaris menggunakan tayar basah.
Tindakan spontan itu mendorong beberapa pelumba lain turut bergegas ke pit untuk menukar jentera, sekali gus memaksa pengarah perlumbaan membatalkan permulaan atas faktor keselamatan dan menyelamatkan mereka daripada dikenakan penalti ‘ride-through’.
Mengikut peraturan semasa, mana-mana pelumba meninggalkan grid sebelum perlumbaan bermula atas sebab tayar atau cuaca perlu bermula dari petak asal tetapi dikenakan penalti, namun pembatalan perlumbaan menjadikan klausa itu tidak terpakai dalam situasi tersebut.
Pengarah perlumbaan, Mike Webb mengakui kekeliruan itu mendedahkan kelemahan dalam tafsiran peraturan, sekali gus menyatakan pihaknya akan menyemak semula undang-undang sedia ada agar lebih jelas kepada semua pelumba dan pasukan.
Sementara itu, Marquez mempertahankan tindakannya yang dianggap sebagai naluri pelumba berpengalaman dan menyifatkan ia sebahagian daripada sifat perlumbaan penuh spontan.
“Situasi seperti ini juga merupakan sesuatu yang MotoGP sedang sesuaikan secara positif. Kita sedang bersaing, ada saat-saat di mana tindakan spontan boleh berlaku tanpa dijangka,” kata Marquez.
Bintang Ducati itu turut mengimbau kembali bagaimana tindakannya dalam situasi ‘flag-to-flag’ dahulu melompat dari satu jentera ke jentera lain di pit tanpa henti yang akhirnya mencetuskan perubahan peraturan kerana dianggap berisiko tinggi.
Kini, pelumba diwajibkan turun dari jentera pertama secara teratur di zon khas sebelum menaiki jentera kedua mereka iaitu peraturan yang lahir hasil inspirasi tindakan berani Marquez sendiri. – AGENSI