PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan kunjungan rasmi ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) di Jakarta sebagai sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke republik tersebut.
Jelas Ahmad Zahid, kunjungan itu membawa makna besar dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam aspek pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction – DRR).
“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Letnan Jenderal TNI Suharyanto, Kepala BNPB atas sambutan mesra dan komitmen beliau dalam mempereratkan sinergi dua hala ini.
“Dalam pertemuan ini, saya menekankan kepentingan perkongsian pengalaman, latihan menyeluruh serta kerjasama teknikal antara pasukan pengurusan bencana kedua-dua negara, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya di media sosial Facebook hari ini.
Kata beliau, Malaysia menghargai kepakaran Indonesia dalam menghadapi pelbagai bentuk bencana berskala besar. Pada masa yang sama, Malaysia bersedia menyumbang menerusi kekuatan teknologi, logistik dan pendekatan kemanusiaan melalui NADMA serta rangkaian serantau seperti AHA Centre dan ASEAN-ERAT.
“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada AHA Centre atas tindakan pantas mengaktifkan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar baru-baru ini.
“Koordinasi bersepadu dalam kalangan negara anggota ASEAN ini jelas mencerminkan semangat “One ASEAN, One Response” yang menjadi prinsip teras kita bersama.
“Malaysia percaya bahawa daya tindak yang cekap bermula dengan kesiapsiagaan yang rapi. Dalam dunia yang berdepan risiko iklim dan bencana yang semakin kompleks, kerjasama rentas sempadan amat diperlukan,” jelasnya.
Ujar beliau, NADMA terbuka menerima cadangan konstruktif daripada BNPB dan Kerajaan Indonesia untuk memuktamadkan bentuk kerjasama yang lebih menyeluruh dan berimpak.
“Marilah kita terus memperkukuh seni bina pengurusan bencana serantau demi memastikan kesejahteraan bersama, keselamatan rakyat dan ketahanan rantau ini terjamin pada setiap masa,” jelas Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE.