PETALING JAYA – Dua beradik berbangsa Cina mencuri perhatian netizen apabila memakai lencana Jalur Gemilang ke sekolah dengan syarat ketat yang ditetapkan oleh bapa mereka.
Menurut perkongsian oleh @Ngcheekean di Facebook, lencana tersebut bukan sekadar simbol patriotik, tetapi mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dijaga.
“Saya sudah tetapkan beberapa syarat wajib. Lencana tidak boleh dikotorkan atau jatuh ke lantai. Baju pun tidak boleh dibuang merata-rata kerana Jalur Gemilang ada di dada,” katanya.
Tambahnya, mereka wajib bertutur dalam Bahasa Melayu apabila berinteraksi di sekolah.
“Bahasa kebangsaan perlu diutamakan. Walaupun bersekolah di sekolah Cina, interaksi bersama kawan mesti guna Bahasa Malaysia,” katanya.
Jika tahap penguasaan Bahasa Melayu merosot mereka, dia tidak teragak-agak untuk menarik semula lencana tersebut.
Perkongsian itu menerima pujian ramai dari netizen yang menyifatkannya didikan tersebut sebagai contoh terbaik dalam kalangan ibu bapa.
“Bukan sekadar pakai lencana, tapi kena faham dan amalkan makna di sebaliknya,” kata @Masnahmisnan.
“Kalau semua pakai kaedah ini, sudah tentu penggunaan Bahasa Melayu anak-anak akan bertambah baik,” ujar @Amirulshuhaimi.
“Dengan didikan sebegini, sudah pasti mereka akan membesar menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti,” komen @Mohdwazeer. – KOSMO! ONLINE