BANDAR VATICAN – Ketua Gereja Roman Katholik pertama dari rantau Amerika Latin, Pope Francis meninggal dunia semasa sambutan Paskah semalam pada usia 88 tahun, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Beliau meninggal dunia akibat strok, kurang 24 jam selepas muncul di atas kerusi roda di Dataran St Peter untuk memimpin upacara Paskah di hadapan beribu-ribu penganut Kristian Katholik.
Mendiang sebelum ini tidak sihat dan dirawat di hospital selama lima minggu kerana jangkitan radang paru-paru berganda.
Majlis memberi penghormatan diadakan di seluruh dunia ketika 1.4 bilion penganut Katholik meratapi kematiannya. Dalam masa sama, penganut-penganut Katholik mula membanjiri Vatican untuk berkabung.
Pope Francis yang dilahirkan di Buenos Aires, Argentina, dipilih sebagai Pope pada tahun 2013.
Dalam kenyataan Vatican semalam, Kardinal Kevin Farrell berkata, Pope Francis telah kembali ke negeri abadi.
Vatican kemudian mengesahkan Pope Francis meninggal dunia selepas mengalami strok dan kegagalan jantung pukul 7.35 pagi (waktu tempatan).
Jasad Pope Francis akan dipindahkan ke Gereja Domus Sanctae Marthae. Ia merupakan rumah tamu Vatican sekali gus kediaman beliau selepas menjadi Pope.
Jasadnya kemudian akan ditempatkan di St Peter’s Basilica, di mana orang ramai berpeluang memberi penghormatan terakhir sebelum pengebumian diadakan.
Majlis pengebumian biasanya diadakan dalam tempoh empat hingga enam hari selepas seorang Pope meninggal dunia. – AGENSI