KUALA TERENGGANU – Bekas seorang penolong jurulatih boling kekal dipenjara enam tahun setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuannya terhadap pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (Sukma) pada tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan keputusan penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas mendengar rayuan tertuduh, Mat Salleh Jalani, 62.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 14 tahun satu bulan di dalam bilik di sebuah rumah dekat Marang pada Mac 2018.
Mat Salleh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Suhaili Wan Ismail.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Mei 2024 mendapati Mat Salleh bersalah dalam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal berkenaan. – KOSMO! ONLINE