LANGKAH serius bunga dari Seberang, Nabila Taqiyyah untuk mengukir nama dalam industri muzik semakin menyala apabila muncul dengan album sulungnya, Kekal Yang Sementara.
Bawah naungan Universal Music Indonesia, diskografi tersebut bukan sahaja menjadi penanda aras baharu dalam kerjayanya, malah turut menjadi simbol kepada impian yang lama diidamkan bintang kelahiran Indonesia Idol itu sebagai pengkarya seni.
“Sebagai penyanyi atau pemuzik, menghasilkan album menjadi salah satu pencapaian luar biasa bagi saya,” katanya.
Mengandungi lapan buah lagu, dua daripadanya Ku Ingin Pisah dan Terpisah Terluka telah diperkenalkan lebih awal sebagai single.
Sementara enam lagu lain yang baharu telah dipilih sebagai lagu fokus dalam album berkenaan.
Menariknya, Nabila tidak hanya bertindak sebagai penyanyi, dia bahkan turut menyumbang dalam penulisan lirik beberapa trek. Ini sekali gus membuktikan keterlibatannya secara langsung dalam proses kreatif album tersebut.
Mengangkat genre pop sebagai tunjang utama, album berkenaan menjadi wadah untuk menyuarakan emosi yang universal tanpa mengira usia.
“Album ini menjadi satu satu bentuk validasi terhadap perasaan putus cinta yang dihadapi oleh berbagai kalangan mulai dari remaja, orang dewasa, hingga orang tua,” jelas Nabila.
Tajuk album yang Kekal Yang Sementara sebenarnya agak kontradiksi, namun membawa makna mendalam kerana menggambarkan bagaimana perasaan terhadap seseorang boleh kekal dalam diri meskipun hubungan itu sementara sahaja.
Album berkenaan disifatkan sebagai pakej lengkap sebuah album dengan lagu-lagu cinta penuh galau, namun tetap menyelitkan harapan dan sisi positif.
Nabila berharap lagu-lagu dalam album berkenaan dapat menyedarkan para pendengar bahawa rasa kecewa, sedih, dan marah selepas putus cinta adalah sesuatu yang normal.
“Ada banyak hal positif lain di luar sana yang boleh kita fokus selain dari perasaan sedih yang kita alami.
“Dan, album ini mewakili hal-hal tersebut,” tambahnya.
Antara lagu yang disandarkan dalam albumnya termasuklah Berjalan Tanpamu yang dipilih sebagai single pertama.