LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot tampil mempertahankan bintang sensasinya, Trent Alexander-Arnold dan menganggap kritikan yang mempersoalkan komitmen pertahanan itu adalah keterlaluan.
Alexander-Arnold yang dilaporkan bakal berpindah ke Real Madrid secara percuma pada musim panas nanti muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menewaskan Leicester City 1-0 di Stadium King Power, kelmarin.
Selepas masuk menggantikan Conor Bradley, Alexander-Arnold hanya memerlukan tempoh lima minit untuk menghasilkan jaringan dan ia menjadi kepulangan semula yang cukup baik sejak pulih daripada kecederaan buku lali.
“Detik yang hebat dan pemain berkualiti sepertinya cukup suka untuk meraih detik-detik seperti ini dalam karier mereka. Sebelum ini Virgil van Dijk pernah melakukannya ketika mengatasi West Ham United.
“Mohamed Salah sudah melakukan banyak kali musim ini dan inilah yang diperlukan oleh Trent (Alexander-Arnold),” kata Slot yang kini hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.
Sepanjang bersama The Reds sejak berusia enam tahun, Alexander-Arnold sudah memenangi kesemua kejuaraan di peringkat domestik dan turut membantu pasukan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia.
“Tajuk berita sepatutnya berkisar mengenai jaringannya, bukan tentang kontrak tetapi saya boleh katakan adalah keterlaluan untuk mempertikaikan komitmennya bersama kelab ini,” tambah Slot.
Gol kemenangan daripada bintang England itu secara tidak langsung boleh menjadi ‘hadiah perpisahan’ terbaik daripada Alexander-Arnold buat para penyokong Liverpool yang menantikan kejuaraan liga ke-20 kelab berkenaan jika menang minggu depan. – AGENSI