LONDON – Leeds United dan Burnley berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas membenam lawan masing-masing pada aksi awal pagi semalam untuk berkongsi mata yang sama di puncak Liga Kejuaraan selepas mengharungi 44 perlawanan.
Burnley turun beraksi di laman sendiri, Turf Moore dengan melayan kunjungan Sheffield United berjaya memanfaatkan sokongan padu penyokong apabila meraih kemenangan 2-1.
Sementara itu, Leeds tidak berdepan cabaran apabila membelasah Stoke City 6-0 di Elland Road sekali gus membolehkan mereka menguasai persada liga menerusi kelebihan perbezaan gol berbanding Burnley dan perebutan kejuaraan dijangka berlangsung sehingga aksi terakhir.
Berbaki dua lagi aksi, Burnley perlu berdepan QPR dan Millwall, manakala Leeds akn turun menentang Bristol City di tempat sendiri dan menamatkan musim ini dengan perlawanan menentang Plymouth Argyle di tempat lawan.
Ketua pasukan Burnley, Josh Brownhill mengakui hilang kata-kata dengan kejayaan yang diraih pasukannya itu dan percaya ia adalah hasil kerja keras yang dilakukan sepanjang musim ini.
“Kami telah dikecam berulang kali apabila ramai yang menyifatkan permainan kami membosankan. Kami telah melalui perjalanan yang penuh dengan cabaran menuju Liga Perdana.
“Ini adalah hasil kerjasama semua pasukan, bukan hanya melibatkan pemain pertahanan atau penjaga gol.” ujarnya
Sementara itu, kekalahan itu menyukarkan Sheffield yang menghuni kedudukan tempat ketiga apabila terpaksa bersaing dengan tiga lagi pasukan, Sunderland, Bristol dan Coventry City dalam saingan playoff untuk merebut slot terakhir ke saingan EPL musim depan. – AGENSI