KUALA LANGAT – Dua beranak berdepan detik cemas apabila diacukan parang dalam kejadian samun di sebuah kedai bunga di sekitar Jenjarom di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 49 tahun kerugian kira-kira RM4,000 setelah rantainya lehernya dilarikan penyamun itu.
Bagaimanapun, mangsa dan anaknya berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, polis menerima laporan daripada mangsa kira-kira pukul 4.50 petang hari sama berhubung kejadian itu.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa dan anaknya yang berada di kedai bunga telah didatangi sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti.
“Kumpulan suspek itu yang bertutup kepala dan bersenjatakan parang bertindak mengacukan parang.
“Suspek kemudiannya telah menarik rantai emas di leher mangsa lalu melarikan diri menaiki kereta ke arah tidak pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, usaha mengesan kumpulan suspek terlibat sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222.
Terdahulu, tular tiga rakaman televisyen litar tertutup memaparkan aksi samun bersenjata itu di media sosial. – KOSMO! ONLINE