KOTA BHARU – Sebanyak 11,678 kenderaan Thailand direkodkan keluar dan masuk melalui tiga pintu sempadan utama di negeri ini sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 6,172 kenderaan masuk dan 5,506 kenderaan keluar melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.
“Tiada kenderaan Thailand dikesan melakukan kesalahan tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) sepanjang tempoh tersebut. Kebanyakan kenderaan terdiri daripada kenderaan persendirian dan trak pikap,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, JPJ Kelantan merekodkan kutipan RM76,950 daripada 277 saman yang dikeluarkan kepada kenderaan dari Thailand sepanjang Ops Tunggak. – KOSMO! ONLINE