PETALING JAYA – Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan didakwa akibat dipukul teman lelaki yang merupakan pelakon tempatan.
Menurut wanita berusia 26 tahun itu, kejadian tersebut berlaku di sebuah kondominium di Damansara, di sini sebelum membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), semalam.
“Kali terakhir saya dipukul adalah pada 7 April lalu. Selain itu, saya juga pernah dicekik sehingga pengsan. Puncanya dia kata sebab ‘saya tak dengar cakap’.
“Saya dengan dia dah tiada apa-apa sekarang dan kami sudah putuskan hubungan baru-baru ini,” dakwanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Katanya, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, wanita berkenaan mendedahkan beberapa foto di media sosial memaparkan kecederaan dialaminya pada muka dan badan didakwa akibat dipukul pelakon berkenaan. – KOSMO! ONLINE