ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyiasat kemalangan yang mengorbankan penuntut wanita di kampus Sintok, dekat sini pada kelmarin serta menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, Jawatankuasa Siasatan Kemalangan bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian bagi memastikan segala aspek berkaitan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Sementara Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus pula bertanggungjawab bagi menilai semula tahap kecekapan, pematuhan peraturan, integriti serta keberkesanan pengurusan perkhidmatan pengangkutan dalam kampus,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihak polis turut menjalankan siasatan berkaitan insiden berkenaan yang mengakibatkan kematian penuntut semester empat Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22.
Menurut Mohd. Foad, UUM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan warganya termasuk pelajar menjadi keutamaan.
“Kehilangan seorang pelajar yang sedang meniti kejayaan adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada universiti dan negara.
“Sehubungan itu, UUM telah mengambil tindakan membantu keluarga Allahyarham (Manarina) dalam proses penghantaran dan mengurus jenazah serta memberi bantuan dalam bentuk pampasan insurans, bantuan khairat dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam insiden tersebut, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, pelajar Semester 4, Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian disahkan meninggal dunia pada pada 6.30 petang di Hospital Sultanah Bahiyah. – KOSMO! ONLINE