PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet berlaku susulan ‘tumbangnya’ beberapa nama besar dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.
Perdana Menteri berkata, pemilihan di peringkat parti itu tiada kaitan dengan rombakan Kabinet.
“Tiada (tiada rombakan Kabinet), ini hanya pemilihan parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Katanya, segala isu dan masalah berbangkit mengenai isu pemilihan itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas pada Rabu ini.
Anwar berkata, beliau menjelaskan operasi Kerajaan Madani ketika ini berjalan seperti biasa.
“Ini soal parti dan tiada timbul soal kerajaan negeri atau Persekutuan. Jalan seperti biasa (urusan Kabinet). Saya melihat barisan Kabinet itu dari segi prestasi masing-masing dan bukannya dari segi percaturan politik,” katanya.- KOSMO! ONLINE