KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V diiringi Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan bersama barisan pemimpin negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah turut berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut.
Terdahulu, baginda tiba Kompleks Kota Darulnaim di sini kira-kira pukul 11.40 pagi dan berkenan melakukan pemeriksaan barisan sempena istiadat tersebut sebelum merasmikan pembukaan sidang DUN Kelantan. – KOSMO! ONLINE