fbpx

‘Saya jaga dia sakit 19 tahun, patut dari dulu beritahu nak lepaskan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Edika berkata, dia cuba menghubungi isterinya untuk berbincang namun tidak diendahkan.

PETALING JAYA – “Anggap sahaja ini hadiah hari lahir saya.”

Demikian luahan pelakon senior, Edika Yusof selepas reda menerima hakikat rumah tangga yang dibina selama 22 tahun bersama isteri, Nor Hidayah Yusri kini goyah apabila wanita itu memfailkan perceraian.

Pun begitu, Edika, 58, berkata, alasan untuk ‘membebaskannya’ itu sebenarnya sudah terlambat memandangkan dia sudah 19 tahun menjaga isterinya yang lumpuh tanpa merungut.

“Saya dah kahwin lebih 22 tahun. Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit. Jadi, apabila pada waktu ini baru nak ‘offer’ untuk lepaskan saya, saya rasa dah terlambat.

“Dia cakap nak bebaskan saya, supaya saya boleh hidup baharu. Baiklah, terima kasih. Anggap sahaja ini hadiah hari lahir saya esok. Tapi kalau itu niat dia, patut dari dulu beritahu. Saya pun tak pernah minta dilepaskan,” katanya.

Tambah Edika, dia sendiri tidak faham mengapa perkara sebesar itu tidak dibincangkan terlebih dahulu memandangkan sepanjang perkahwinan mereka dia sudah terbiasa menanggung beban rumah tangga dan tidak pernah mengeluh.

“Saya cuba ajak bincang, cuba WhatsApp, telefon, tapi dia elak. Saya tanya kenapa tak bincang dulu? Dia jawab, dah tak ada apa nak dibincangkan.

“Saya tak pernah sorok apa-apa. Telefon saya, akaun bank saya, semuanya dia boleh tengok. Saya jenis yang ‘gentle’, tak ada apa nak disembunyikan. Tapi nampaknya dia memang serius nak berpisah,” ujarnya.

Tambah pelakon filem Maria Mariana itu lagi, anak-anak menerima perkara tersebut dengan baik namun malangnya mereka sendiri tidak pernah bertanya apatah lagi mencuba untuk merapatkan kembali hubungannya dan isteri.

Respons anak

“Anak perempuan saya bersama saya, dua lagi dengan isteri. Tapi saya tengok mereka pun tidak menunjukkan usaha nak merapatkan hubungan. Masing-masing fikir hal sendiri.

“Saya tunggu juga kalau mereka nak buat sesuatu untuk satukan semula, tapi tak nampak pun. Mungkin generasi sekarang begitulah. Saya pun sekarang seorang diri,” katanya dengan nada tenang namun sarat kepedihan.

Lebih menyedihkan, bapa kepada tiga anak ini turut mendedahkan, kesunyian dan tekanan perasaan yang dihadapi selama bertahun-tahun menyebabkan dirinya diserang kemurungan hingga terpaksa mendapatkan rawatan pada tahun 2022.

“Saya jaga isteri saya bertahun-tahun. Tapi orang hanya nampak dia yang sakit. Orang tak nampak apa yang saya tanggung. Saya pernah kena anxiety. Saya jumpa kaunselor. Saya tak ada tempat nak luah. Mak ayah saya pun dah tiada.

“Saya pendam sendiri. Kadang-kadang saya terlalu ‘push’ dia untuk jadi berdikari sebab saya risau kalau saya tiada nanti, siapa nak jaga dia? Tapi mungkin dia tak boleh terima cara saya. Saya pun tak tahu apa sebenarnya yang dia mahu,” luahnya.

Dalam masa sama, Edika masih menaruh harapan agar mereka dapat berbaik dan menyelesaikan perkara itu secara damai.

“Kalau boleh jumpa dan bincang, saya okey saja. Tak perlulah nak bermusuh. Kita dah hidup sama-sama 22 tahun, lalui susah senang berdua. Tapi kalau dia rasa lebih bahagia lepaskan saya, saya terima,” tutupnya.

Sebelum ini, peguam syarie mewakili Nor Hidayah, 47, Mohd Yazid Hazim, mengesahkan wanita itu memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu.

Menurut Yazid, mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.

Ketika ditemui di mahkamah, Nor Hidayah enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dibuatnya kerana mahu mendengar kenyataan daripada pihak Edika terlebih dahulu.

Wanita itu bagaimanapun mengakui mereka sudah tidak tinggal sebumbung, tetapi enggan mendedahkan sejak bila.

Sebelum ini, kisah pasangan tersebut meraih perhatian ramai apabila Edika setia menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup sejak 2003, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI