fbpx

PSM optimis final semua acara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMALI (lima dari kanan) pada majlis undian sepak takraw Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menaruh sepenuh kepercayaan skuad sepak takraw negara mampu melangkah ke perlawanan akhir dalam keempat-empat acara pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, di Kuala Lumpur bulan depan.

Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, antara acara menjadi keutamaan adalah regu dan double di mana Malaysia menjadi juara pada saingan Piala Dunia yang turut berlangsung di Kuala Lumpur tahun lalu.

Beliau menjelaskan, aksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya skuad kebangsaan untuk melangkah ke pentas final, seterusnya melakukan yang terbaik bagi meraih kejuaraan.

“Sasarannya sudah tentulah untuk kita melangkah ke pentas final dan diharapkan ia dalam keempat-empat acara yang disertai. Kita juga pernah menjadi juara acara double dan regu pada Piala Dunia tahun lalu.

“Kita sebagai tuan rumah, bermain di gelanggang sendiri dan stadium sama. Memang sasaran untuk mendapatkan pingat emas, terutamanya beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya selepas Majlis Undian Piala Asia, di sini hari ini.

Malaysia pastinya mahu melakar sejarah tersendiri dengan menjadi juara dalam setiap acara disertai, lebih-lebih lagi kejohanan itu bakal dianjurkan buat julung kalinya.

Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura manakala untuk double, pasukan negara dijangka tidak berdepan masalah ke pusingan kalah mati apabila berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Nepal.

Sementara itu, acara quadrant menyaksikan Malaysia perlu bersaing dengan Filipina, Jepun serta China dalam Kumpulan B dan bagi regu berpasukan, Malaysia menghuni Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI