KANGAR – Seorang petugas kesihatan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki ganja seberat 10.8 gram pada tahun lalu.
Tertuduh, Nur Aizat Haziq Mohd Zulkapli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.
Nurshahida kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan penjara setahun sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. Nur Aizat Haziq membayar denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki ganja seberat 10.8 gram semasa pemeriksaan di laluan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar kira-kira pukul 3.30 petang, 2 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Suriati Yahaya dan Nurul Idayu Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najdah Muhamad Romli.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan bagaimanapun peguam tertuduh meminta anak guamnya dikenakan hukuman minima susulan dia tinggal bersendirian dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.- KOSMO! ONLINE