SEGAMAT – Keluarga penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, yang maut dilanggar bas kelmarin menyerahkan kepercayaan sepenuh terhadap siasatan yang dijalankan pihak universiti dan polis.
Bapa mangsa, Mohamad Karim Sulaiman, 51, berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden yang meragut nyawa anak sulung empat beradik itu jika perlu selepas meneliti laporan lengkap diterima.
“Setakat ini pihak UUM ada siasatan tersendiri bersangkut paut dengan siasatan pihak polis, apa-apa keputusan (bergantung) daripada hasil siasatan kedua-dua belah pihak.
“Jika kita sudah dapat laporan terperinci (laporan siasatan), insha-ALLAH kita mungkin akan ambil tindakan, jika perlu,”katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham Manarina Hasya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis di sini malam semalam.
Terdahulu, jenazah Manarina Hasya selamat disemadikan kira-kira pukul 11.45 malam dihadiri kira-kira 200 kenalan Allaryarham, saudara-mara dan penduduk kampung yang mengiringi perjalanan akhir pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu ke negeri abadi.
Dalam pada itu, Mohamad Karim berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian Manarina Hasya malah menyifatkan anaknya itu mati syahid akhirat ketika menuntut ilmu.
“Alhamdulillah saya bersyukur kepada pihak pengurusan UUM dan ahli kariah kampung yang banyak membantu memudahkan urusan jenazah anak saya, saya reda dengan pemergiannya.
“Dia pergi sebagai mati syahid akhirat, Allah ambil dia ketika dia sedang menuntut ilmu,”katanya.
Bapa empat anak itu berkata, anaknya itu menunjukkan perubahan sikap tang ketara ketika menyambut hari raya Aidilftri yang lalu.
Katanya, Manarina Hasya suka membantu membuat kerja rumah tanpa disuruh sehingga siap tidak seperti sebelumnya.
“Biasa dia memilih untuk buat kerja tetapi hari raya hari itu, dia buat kerja tanpa disuruh sampai siap, itulah perubahan ketara yang saya nampak,”katanya.
Mohamad Karim berkata, dia kehilangan anak yang merupakan harapan keluarga untuk membawa pulang segulung ijazah namun hasratnya tidak kesampaian setelah takdir telah tertulis anaknya dijemput Ilahi.
Katanya, tiada keluarga mahukan kejadian yang menimpa anaknya itu berlaku namun takdir Allah menentukan segalanya, dia reda dan menyifatkan perancangan Allah itu lebih baik.-KOSMO! ONLINE