BIRMINGHAM – Rentak kemenangan Newcastle United dalam enam perlawanan berturut-turut berakhir selepas tewas 1-4 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi semalam.
The Magpies gagal mengekang asakan Villa yang masih dibelenggu kekecewaan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tewas di suku akhir kepada juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).
Penolong pengurus Newcastle, Jason Tindall menganggap faktor kepenatan menjadi punca kekalahan pasukan itu, terutamanya selepas mereka mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.
“Berdasarkan perlawanan selama 90 minit hari ini (awal pagi semalam), Aston Villa lebih layak untuk menang. Saya tidak mahu menyalahkan barisan pemain kerana mereka sudah menunjukkan usaha serta bekerja keras.
“Mungkin perlawanan ketiga dalam tempoh enam hari mula memberikan kami masalah kerana pemain mula berdepan kekangan fizikal sehingga melakukan beberapa kesilapan yang mengundang jaringan gol,” katanya.
Pada perlawanan itu, Villa melakukan empat jaringan masing-masing menerusi Ollie Watkins, Ian Maatsen, Amadou Onana dan gol sendiri Dan Burn, manakala gol sagu hati Newcastle dijaringkan oleh Fabian Schar.
“Kami bermula dengan agak buruk pada awal permainan tetapi dapat bangkit untuk menyamakan kedudukan. Bagaimanapun, ia serba tidak menjadi sebaik sahaja separuh masa kedua bermula,” ujar Tindall.
Newcastle kekal di kedudukan ketiga menerusi 59 mata, lebih satu mata dengan Manchester City di tangga keempat sekali gus menjadikan persaingan menempatkan diri dalam kelompok lima teratas untuk layak ke UCL musim depan semakin rancak.
Antara pasukan yang masih berpotensi mencabar slot ke pentas UCL musim depan iaitu Chelsea di tangga ketujuh, Bournemouth (No. 8), Fulham (No. 9) dan Brighton (No. 10) dalam baki lima perlawanan musim ini. – AGENSI