fbpx

Naziah komited perkasa usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZIAH (empat dari kanan) telah membantu membimbing lebih 3,000 usahawan menerusi pelbagai program.

TAPAH – Pemerkasaan ­usahawan merupakan satu proses penting bagi memastikan mereka meraih kejayaan dalam perniagaan dan ia dianggap sebagai misi peribadi buat seorang anak jati Tapah, Perak ini.

Bagi Naziah Pir Khan, 42, yang popular dengan penggilan Nikky, pera­nan sebagai seorang konsultan bertauliah bagaikan suatu ‘panggilan’ buat dirinya kerana sikap mahu membim­bing hadir sejak zaman kanak-kanak lagi terutamanya ketika di bangku persekolahan.

Bagaimanapun, ujar pemilik NK Spa dan NK Training & Consultancy itu, semangat untuk membimbing semata-mata tidak memadai kerana ia perlu hadir bersama pengalaman.

Justeru, beliau hanya memulakan karier sebagai konsultan pada 2011, setelah 10 tahun menimba pengalaman dan bekerja dalam industri kesihatan serta kecantikan sejak 2001.

“Sebelum menjadi jurulatih, saya mula terlibat dengan industri sejak berusia 18 tahun lagi. Dari situ, saya meningkatkan penge­tahuan dan kemahiran menerusi kursus-kursus serta program berkaitan.

“Antaranya kursus solekan dan spa, Sijil Kemahiran Malaysia, serta Diploma Pentadbiran Spa dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), malah saya turut diiktiraf sebagai Certified Trainer HRDCorp.

“Pada 2005, saya melangkah ke hadapan dengan membuka perniagaan sendiri iaitu NK Spa di Kampar. Pada 2019, saya memindahkan operasi di Tapah kerana mahu berbakti di tempat lahir sendiri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

NAZIAH menimba pengalaman dalam industri kesihatan dan kecantikan sejak berusia 18 tahun.

Sejak 2011, Naziah telah membimbing lebih 3,000 usahawan menerusi pelbagai program keusahawanan yang dilaksanakan di Perak dan lain-lain negeri.

“Kami menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan program-program tersebut, termasuklah bersama Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri,” katanya.

Naziah yang ditauliah sebagai Pakar Industri Negara oleh JPK berkata, program-program yang dilaksanakan pihaknya tidak lain dan tidak bukan adalah bermatlamat untuk melahirkan golo­ngan usahawan berjaya.

Bukan itu sahaja, program tersebut menjadi platform bagi golongan peserta untuk membina hubungan dan mengenali pemain industri lain secara lebih rapat, sekali gus meluaskan jari­ngan perniagaan masing-masing.

Naziah berkata, menerusi pe­ngalaman lebih 20 tahun dalam industri, beliau mendapati sikap seorang usahawan memainkan peranan paling penting dalam menentukan jatuh bangun perniagaan mereka.

“Konsistensi adalah sangat penting bagi seorang usahawan dan ada dalam kalangan mereka ini (usahawan) yang tidak mengamalkannya. Ramai juga yang tak sabar.

“Apabila perniagaan berhadapan dengan cabaran dan pendapatan menurun, mereka terus merasakan apa yang diusahakan tidak lagi berbaloi dan menguntungkan.

“Dalam masa sama, ada juga kumpulan yang duduk dalam zon selesa dan berpandangan apa yang telah dicapai selama ini sudah mencukupi,” katanya.

MAKLUM balas dan kepuasan pelanggan merupakan faktor penting yang sentiasa dititikberatkan oleh NK Spa.

Jelas anak bongsu daripada 11 adik-beradik kepada pasa­ngan Pir Khan Kibar, 82, dan Asiah Khatoon Md. Zaman, 77 itu, sebuah perniagaan berpotensi untuk gagal dalam tempoh kurang dari setahun sekiranya pemilik tidak memainkan peranan mereka dengan baik.

Naziah berkata, antara penanda aras sesebuah perniagaan itu berhadapan dengan risiko ‘tutup kedai’ adalah apabila ia mengalami kerugian untuk tempoh lebih dari enam bulan, terutamanya bagi usahawan mikro.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting bagi seorang pemilik perniagaan untuk mempunyai matlamat dan wawasan yang jelas kerana ia membuka jalan bagi mereka untuk menguruskan perniagaan dengan baik.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI