PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, terdapat kesan darah pada bilik dan tandas di rumah Zayn Rayyan Abdul Matin di Blok R, Apartment Idaman di Damansara Damai di sini.
Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, berkata dapatan itu diperoleh menerusi proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) yang dilakukan di rumah tersebut semasa siasatan dilakukan pada 9 Disember 2023.
“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atau darah yang ditemui dalam bilik air tersebut adalah milik tertuduh B1 (Zaim Ikhwan Zahari) sebagai mana dalam laporan kimia. Selain daripada itu tertuduh Isma (Ismanira) ada juga menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur dalam bilik air…namun DNA atau darah yang ditemui dalam bilik air tersebut adalah milik Zaim Ikhwan,” kata saksi itu.
Sementara itu berhubung darah dalam bilik di rumah tersebut, saksi itu memberitahu beliau ada merakam percakapan Ismanira dan hasil keterangan menyatakan si mati (Zayn Rayyan) pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasaanya akan akan mencalit kesan hingus atau hidung berdarah di kawasan dinding dalam bilik atau di dalam rumah.
Bagaimanapun,semasa prosiding saksi tidak menjelaskan secara terperinci kepada mahkamah, pemilik darah yang dikesan di bilik rumah berkenaan.
Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah pada 9 Disember pukul 9.30 malam, beliau bersama pasukan forensik telah pergi ke lokasi kejadian semula dan telah lakukan proses luminol di rumah si mati.
Selain rumah si mati, polis turut pergi ke beberapa buah rumah yang dipercayai terlibat dalam kes yang mana tugasan itu selesai pukul 2 pagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE