fbpx

KDN cadang MyDigital ID diperluas untuk bayaran saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri PDRM 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan supaya penggunaan aplikasi MyDigital ID diperluaskan khususnya dalam urusan pembayaran saman trafik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sebelum ini telah bersetuju untuk meminda Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan pelaksanaan identiti digital itu secara menyeluruh.

“Walaupun penggunaan MyDigital ID belum diwajibkan, namun ia merupakan sebahagian daripada dasar transformasi digital kerajaan.

“Langkah ini masih di peringkat cadangan dan belum lagi diluluskan di Parlimen, namun kita galakkan orang ramai mula menggunakan aplikasi ini sebagai pengesahan identiti dalam sebarang urusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Hari Raya Aidilfiti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, semua urusan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selepas ini akan mengutamakan pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID.

“Lebih menarik, diskaun saman yang ditawarkan juga akan lebih tinggi kepada pengguna aplikasi tersebut.

“Kalau sebelum ini ada diskaun 50 peratus, dengan MyDigital ID mungkin dapat 55 peratus. Daftar pun senang dengan hanya guna telefon dan prosesnya cepat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI