MUNICH – Selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di tangan Inter Milan, Bayern Munich kembali ke landasan kemenangan dalam misi memburu kejuaraan Bundesliga menerusi kemenangan 4-0 ke atas Heidenheim kelmarin.
Kejayaan itu menyaksikan penyerang utama Bayern, Harry Kane kini semakin hampir untuk mendakap kejuaraan pertama dalam kariernya apabila meledak satu gol sekali gus menjadi jaringan peribadi ke-24 musim ini.
“Kemenangan ini adalah langkah yang amat penting dalam perjuangan kami untuk meraih kejuaraan.
“Kami kini mendahului dengan sembilan mata dan (Bayer) Leverkusen perlu menang untuk mengecilkan jurang.
“Namun, kami tidak terlalu fokus kepada mereka. Apa yang penting sekarang adalah kami perlu memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan lagi untuk memastikan kejuaraan,” kata pengendali Bayern, Vincent Kompany.
Tiga lagi gol Bayern dalam aksi di Voith-Arena itu diperoleh menerusi Konrad Laimer, Kingsley Coman dan Joshua Kimmich.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern terus melebarkan penguasaan di puncak liga dengan kelebihan sembilan mata ke atas juara bertahan di tangga kedua, Bayer Leverkusen yang berpeluang mengurangkan jurang kepada enam mata.
Berdasarkan prestasi semasa dalam saingan domestik, Bayern boleh merampas kejuaraan Bundesliga untuk merangkul gelaran liga ke-34 seawal minggu depan jika mereka menang ke atas Mainz dan pada masa sama Leverkusen tewas kepada Augsburg. – AGENSI