SABAK BERNAM – Kementerian Pertahanan positif terhadap keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, setakat ini tiada perbincangan khususnya namun amat dialukan supaya MRSM dapat bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar terdapat kelangsungan kerjaya kedua kepada veteran.
Katanya, ini seterusnya dapat memastikan pendapatan veteran sentiasa terjamin.
“Kita ada banyak level kemampuan warden dari segi pangkat dan seumpamanya. Jadi, kita sedia memenuhi keperluan MARA itu.
“Ini disebabkan saya fikir kepakaran dan displin ATM boleh membantu meningkatkan pembentukan sahsiah para pelajar di peringkat MARA itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada Program Peduli Veteran Madani di sekitar daerah ini.
Sebelum ini, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.
Adly memberitahu, kebanyakan veteran-veteran ATM masih muda iaitu berusia 40an ketika menamatkan perkhidmatan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang dalam sektor awam dan swasta.
Ujarnya, ini terbukti apabila seramai 300 veteran ATM kini menyertai pasukan Renjer Hutan yang merupakan satu inisiatif kerajaan yang memberi ruang kepada bekas tentera untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar negara.
“Veteran kita memang boleh berfungsi dan menjadi tanggungjawab kita di Mindef menyediakan kerjaya kedua kepada veteran kita.
“ATM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dengan ada program MyWira. Malah, 85 peratus veteran dibawah usia 60 tahun mempunyai kerjaya kedua termasuk bidang keusahawanan dan industri keselamatan,” katanya.
Beliau menjelaskan, hanya 15 peratus veteran tidak mempunyai kerjaya kedua terutama berusia 60 tahun ke atas yang memilih untuk berehat dan seumpamanya.
“Setakat ini, 312,000 veteran pelbagai peringkat umur telah berdaftar dengan JHEV,” – KOSMO! ONLINE