fbpx

Jambatan bailey siap sebelum 29 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nizar (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

IPOH – Jambatan bailey yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi jambatan runtuh di Sungai Liat, Sungkai semalam dijangka siap sebelum 29 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan bailey yang bermula hari ini itu menggunakan stok sedia ada dalam simpanan pihak JKR.

“Kepala air menjadi punca jambatan culvert yang berada di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tersebut runtuh.

“Jadi bagi memastikan mereka yang masih terperangkap akibat jambatan runtuh berkenaan dapat dikeluarkan, jambatan bailey akan dibina di tapak asal infrastruktur berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Media semalam melaporkan mengenai insiden jambatan runtuh di Sungkai di Tanjung Malim yang mana ia menghubungkan Felda Residence Hotspring, Buyong Mas Sanctuary Campsite dan Kg. Orang Asli Sg. Tisong serta beberapa lokasi perkhemahan kecil.

Di Buyong Mas Sanctuary Campsite, kira-kira 85 pelajar dan kakitangan Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang telah diselamatkan oleh pihak bomba, manakala di Felda Residence Hotspring berbaki 95 pengunjung yang tinggal setelah dua keluarga keluar dari lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan orang ramai bagi mengakses lokasi terjejas namun ia hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal.

Sementara itu, lima wanita mengandung dari Kg. Orang Asli Sg. Tisong telah selamat dikeluarkan dan ditempatkan di Pusat Transit Orang Asli Sungkai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI