SAUDARA PENGARANG,
Saya bukanlah seorang yang menentang sekiranya jiran mahu membela haiwan peliharaan, namun mereka perlu sedar mengenai tanggungjawab yang hadir bersamanya.
Teguran ini adalah bagi mereka yang hidup berjiran tetapi tidak menghormati hak jiran untuk sekurang-kurangnya menghirup udara segar pada setiap hari.
Sudah banyak kes yang mana saya lihat jiran mengamuk dan meluah rasa tidak puas hati kerana rumah sebelah melepaskan haiwan peliharaan masing-masing seperti anjing atau kucing di sekitar kawasan kediaman.
Haiwan-haiwan ini adakalanya kencing ataupun membuang air besar di halaman rumah jiran.
Situasi ini mengakibatkan bau hancing atau busuk memenuhi segenap sudut kediaman berkenaan.
Lebih malang lagi apabila tuan haiwan berkenaan mengambil sikap lepas tangan dan mengendahkan teguran mangsa yang terjejas dalam isu tersebut.
Sepatutnya haiwan peliharaan yang dibiarkan berkeliaran di sekitar taman ini dibela di kawasan rumah masing-masing kerana jika ia mahu ‘membuang’, biarlah ia dilakukan di kediaman pemiliknya sahaja.
Sebab itulah kita nampak banyak keluhan dari pemilik haiwan di media-media sosial mengenai kucing atau anjing mereka hilang dibuang oleh jiran.
Nur Intan Alwi
Teluk Intan














