fbpx

Ismanira lakon semula tempat kejadian sebelum ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tempat kejadian sebelum Zayn Rayyan hilang.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, sesi ‘reconstruct’ lakonan semula di lokasi kejadian telah dilakukan oleh ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf susulan beberapa siasatan dilakukan.

Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, berkata sebelum itu pada 15 Disember 2023, beliau telah meminta bantuan seorang inspektor untuk menghantar barang kes satu pemacu USB mengandungi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diterima dari pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) ke Jabatan Forensik Polis di Cheras.

“Pada 16 Disember 2023 pukul 11.30 pagi saya hadir ke lokasi kejadian di bahagian kolong air untuk membuat sesi lakonan semula ‘reconstruct’ berdasarkan rakaman CCTV yang memperlihatkan kelibat dipercayai si mati (Zayn Rayyan) masuk dan keluar dari kolong air yang berada di sebelah Apartment Indah,” katanya.

Ujar saksi itu, berikutan siasatan tersebut, Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari kemudian telah ditangkap pada 31 Mei 2024.

Saksi itu menyatakan, pada 10 Jun 2024, Ismanira dibawa keluar dari lokap untuk menjalankan proses lakonan semula.

Pada masa sama beliau telah mengarahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula itu dan rakaman disalin ke dalam pemacu USB dan diserahkan kepadanya.

Tambah saksi itu, pada 12 Jun 2024 Ismanira dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi tujuan prosiding pengakuan bersalah di hadapan Majistret di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

“Bagaimanapun, saya menerima arahan untuk tertuduh pertama, Zaim Ikhwan Zahari dan tertuduh kedua, Ismanira Abdul Manaf dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh masih berlangsung.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI