JEDDAH – Pelumba McLaren, Oscar Piastri meneruskan rentak luar biasa musim ini apabila muncul juara Grand Prix (GP) Arab Saudi di Litar Corniche Jeddah awal pagi tadi sekali gus merampas kedudukan pendahulu Formula Satu (F1) 2025 dengan kelebihan 10 mata.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menundukkan juara dunia, Max Verstappen, tetapi turut mengukuhkan reputasi Piastri sebagai pencabar utama kejuaraan meskipun baru ini barulah masuk ketiganya di pentas F1.
Piastri memulakan perlumbaan dari petak kedua, namun mencuri tumpuan apabila memanfaatkan kesilapan Verstappen yang memotong keluar trek pada selekoh kedua ketika cuba mempertahankan kedudukan daripada serangan agresif pelumba McLaren itu.
Insiden itu segera disiasat steward perlumbaan sebelum Verstappen dijatuhi penalti masa lima saat kerana tidak memberikan ruang mencukupi ketika mempertahankan kedudukan sekali gus membuka laluan kepada Piastri untuk mengambil alih kejuaraan.
Walaupun Verstappen terus mengekalkan kedudukan di depan selepas insiden tersebut, dia gagal mencipta jurang masa mencukupi untuk menampung penalti lima saat dikenakan ke atasnya.
Strategi hentian pit yang tepat memberi kelebihan kepada Piastri untuk memintas dan mendahului perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat 2.8 saat di hadapan Verstappen.
“Sebaik sahaja berada di bahagian dalam, saya tidak berniat keluar dari selekoh pertama di tempat kedua. Sudah tentu steward terpaksa campur tangan. Tapi saya rasa saya sudah cukup jauh ke hadapan dan itulah yang memenangkan saya perlumbaan ini,” jelas Piastri.
Dengan tiga kemenangan daripada lima perlumbaan awal musim ini, termasuk di Bahrain dan China, Piastri kini dilihat sebagai calon serius untuk merebut kejuaraan dunia tatkala McLaren terus memberi saingan sengit kepada dominasi Red Bull. – AGENSI