PETALING JAYA – Atas nasihat dan demi menghormati abang sulungnya, pelakon Datin Rebecca Al Islam bertindak memadam semua hantaran berkaitan Datin Seri Shahida dalam akaun media sosialnya.
Menerusi hantaran terkini Rebecca, dia mendedahkan menerima nasihat daripada abangnya berkaitan isu hangat yang tular sejak semalam.
“Terima kasih Abang Long di atas nasihat malam ini. Demi menghormati Abang Long saya, saya terima segala teguran, nasihat dan seperti biasa kasih sayang dan kata-kata positif yang dicurahkan pada malam ini.
“Love you Along. Adik sayang Along sangat-sangat. Kita semua sekeluarga sentiasa mendoakan Along sihat dan bahagia bersama isteri dan anak-anak tercinta.
“Saya akan padam segala-galanya. Blood is thicker than water (air yang dicintang takkan putus),” tulisnya.
Terdahulu, nama Rebecca menjadi sohor kini dalam platform media sosial selepas dia membidas kenyataan Shahida yang mendakwa dirinya sebagai seorang yang suka mencari publisiti kerana sering berkongsi perihal ibu mentuanya iaitu Bonda Rozita Ibrahim dalam media sosial.
Rebecca yang berang dengan tindakan Shahida itu kemudian menggelarnya sebagai mak cik bodoh dan seorang yang bermulut jahat.
Tidak terhenti di situ, Rebecca turut memuatnnaik komen netizen yang mendedahkan aib Shahida. – KOSMO! ONLINE