KUALA LUMPUR – Seramai 87 mangsa pelaburan ala pinjaman sebuah syarikat menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengheret semula dalang kes terbabit ke muka pengadilan.
Ini kerana dakwa mangsa, dalang kes tersebut iaitu pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021, namun malangnya kedua-dua mereka dibebaskan tanpa dilepaskan kerana ada pengadu menarik balik laporan.
Dakwa mangsa lagi, kedua-dua dalang itu dibebaskan selepas melakukan urusan penyelesaian di sebalik tabir dengan beberapa mangsa sehingga menyebabkan pertuduhan itu tidak diteruskan.
Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan kesemua mangsa telah mengalami kerugian lebih RM47 juta.
Malah katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat kerana terdapat ribuan mangsa lagi yang belum tampil membuat aduan rasmi kepada pihaknya mahupun PDRM.
“Jumlah RM47,305,198 ini bukanlah amaun yang kecil dan tidak sepatutnya kedua-dua dalang syarikat ini dikenakan tindakan DNAA kerana ia sesuatu yang tidak adil kepada mangsa.
“Walaupun ada 22 laporan yang telah dibuka siasatannya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tetapi ada juga laporan telah dirujuk kepada kes terdahulu yang telah DNAA.
“Jadi kita minta pihak PDRM supaya tidak merujuk laporan yang kita buat ini kepada kes yang telah DNAA. Kita mahu laporan kita ini diserahkan kepada AGC dan mahu dalang ini didakwa semula di mahkamah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain 87 mangsa, ribuan mangsa lagi yang belum tampil membuat aduan dan pihaknya yakin jumlah kerugian yang dialami akan meningkat.
“Saya difahamkan terdapat hampir 3,000 mangsa kesemua dan mereka terdiri daripada warga emas, individu pencen dan kesemua mereka telah melaburkan simpanan hari tua kepada syarikat terbabit.
“Ada yang kerugian hampir RM5 juta dan ada juga wang menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur ke syarikat terbabit selepas dijanjikan pulangan hampir 10 peratus setiap bulan,”ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, 87 mangsa tampil membuat aduan kepada MHO selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan ala pinjaman.
Hishamuddin berkata, syarikat tersebut menawarkan pulangan hibah sehingga 30 peratus hingga 50 peratus dalam masa setahun kepada pelabur mereka.
Menurutnya, syarikat kononnya telah membuat pelaburan dalam pelbagai perniagaan patuh syariah termasuklah dalam industri pertanian, teknologi maklumat, pusat kecergasan seperti gimnasium dan hartanah.- KOSMO! ONLINE