BAGAI kuntum yang mekar di tengah musim kemarau, bintang muda bernama Tunku Ines dalam industri seni suara tanah air hadir dengan harapan penuh di dada.
Dalam lambakan wajah baharu yang hadir silih berganti, dia ibarat embun pagi yang mahu menyegarkan taman muzik tempatan.
Ketika ramai bakat baharu bersandarkan populariti dalam laman sosial, kerabat jelita itu membuktikan dirinya bukan penyanyi ‘bidan terjun’ tanpa asas sebaliknya bersulam bakat dan cita rasa muzik yang segar lagi jujur.
“Sejak kecil saya suka menyanyi. Melancarkan single ini adalah impian sejak dahulu. Radar sangat dekat di hati kerana itu semua mencerminkan pengalaman saya sendiri.
“Menerusi lagu ini, saya benar-benar menjadi diri sendiri. Genre pop rock memang sudah sebati dalam jiwa,” katanya kepada HibGlam.
Mewarisi darah bangsawan, namun tidak mahu selesa di zon elit semata, pemilik nama sebenar Tunku Ines Najihah Raden itu memilih untuk menyelami pelayaran seninya dari bawah.
Biarpun masih hijau, dia punya misi, hala tuju dan prinsip tersendiri malah lagu Radar, ciptaan Omar K, Iqie Hugh dan Shazriq Azeman menjadi simbol permulaan perjalanan seninya ke tahap lebih tinggi.
“Dalam team saya, mereka punya idea sendiri, tapi saya juga tahu apa yang saya mahu. Jadi saya perlu ambil tahu dalam setiap keputusan.
“Sepanjang proses Radar, saya terlibat dari awal. Saya kongsi melodi dan lirik impian dengan komposer. Mereka sangat terbuka dan tidak pernah kedekut ilmu,” ujarnya.
Bukan sekadar suara dan melodi, visual video muzik Radar juga mencuri tumpuan ramai.

Ratu
Mengetengahkan konsep ratu lautan misteri, megah dan berkuasa, video muzik tersebut menggambarkan Tunku Ines sebagai figura muda yang sedia mengemudi bahteranya sendiri.
Dalam keterujaan menerjah karier glamor, jelitawan 21 tahun itu tidak sesekali lupa realiti bidang ini.
Dunia glamor tidak semanis yang disangka. Kritikan pasti datang, dan dia sedar akan asam garam yang perlu dilalui.
“Orang boleh cakap apa sahaja. Saya tidak mampu halang. Tapi saya tahu apa yang saya mahukan dan saya tidak akan berpaling.
“Saya sudah bersedia jadi penyanyi. Ini bukan main-main. Ini adalah cinta dan impian saya,” katanya penuh yakin.
Pada majlis pelancaran lagunya, kelibat selebriti ternama seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Che Puan Jeslina Hashim dan pelakon tersohor, Eja turut hadir memberi sokongan. Ibu bapa tercinta juga turut berada di sisi, memberi restu dan dorongan.
“Saya ada bertanya kepada Sarimah tentang pengalaman live performance. Katanya, proses itu sangat mendebarkan, dan beliau beri saya banyak tip untuk bersedia.
“Saya terharu bila ramai hadir. Semua itu buat saya rasa dihargai dan lebih semangat untuk terus melangkah,” luahnya.
Kini menuntut di Universiti Nottingham dalam jurusan sains komputer, Ines membuktikan dirinya bukan hanya cantik dan berbakat, malah pintar serta berwawasan.
Dalam sibuk menghabiskan pengajian, dia sudah merancang untuk tampil dengan dua lagi single baharu tidak lama lagi.
Anggun, berani dan berseni. Ines bukan sekadar puteri berdarah raja tetapi bintang baharu yang menyala perlahan, tetapi pasti.