fbpx
Pelbagai gelagat orang muda atau remaja yang kurang senonoh atau tidak sesuai dengan budaya serta adat kita dipaparkan di TikTok. - Gambar hiasan

Bila views lebih penting daripada maruah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform TikTok semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan orang muda. Bagi mereka yang bijak menggunakannya, pelbagai bakat boleh diserlahkan dan diketengahkan melaluinya.

Ada yang melukis, menyanyi, memasak, malah mengaji al-Quran dengan suara merdu, semuanya menjadi tontonan ramai, namun di sebalik itu, terdapat juga dalam kalangan kita yang menggunakan platform tersebut secara kurang bijak dengan memaparkan gelagat-gelagat yang mencemarkan maruah diri hanya demi menarik tontonan dan populariti.

Kini bukan lagi suatu yang pelik untuk melihat aksi-aksi remaja menari terkinja-kinja, berani berkata lucah secara terbuka, melakukan cabaran tidak masuk akal sehinggalah menjadikan maki hamun sebagai salah satu bentuk hiburan.

Jika dahulu, semua ini akan dianggap memalukan dan tidak sopan, tetapi kini ia seolah-olah sudah boleh diterima, malah disanjung sebagai antara ‘content’ yang menarik.

Sebenarnya senario ini agak membimbangkan. Persoalannya, ke mana hilangnya rasa malu? Adakah ‘likes’ dan ‘followers’ sudah menggantikan nilai akhlak dalam hidup remaja masa kini? Atau mereka hanya meniru apa yang dilihat tanpa memahami akibatnya?

Pelbagai gelagat orang muda atau remaja yang kurang senonoh atau tidak sesuai dengan budaya serta adat kita dipaparkan di TikTok. Sebagai contoh, hanya untuk mempromosikan ubat kuat, remaja kita tanpa rasa malu bercerita mengenai pasangan tidak puas diranjang dan ia menarik ia ribuan penonton menyaksikannya.

Kes-kes seperti ini bukan hanya mencemar nama baik diri sendiri, tetapi turut menjatuhkan nama keluarga, bahkan bangsa kita. Kita tidak boleh salahkan platform semata-mata kerana yang mencorakkan kandungan ialah kita sendiri dan dalam hal ini, kebanyakan remaja remaja kita masih mentah serta mudah terpengaruh.

Jadi mereka perlu kepada panduan serta bimbingan supaya golongan tersebut tidak mudah hanyut dalam dunia palsu yang mereka sendiri cipta.

Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya lebih sensitif dan tidak bersikap lepas tangan. Jangan jadikan telefon pintar sebagai pengganti kasih sayang dan perhatian. Anak-anak perlu dibimbing, bukan dibiar ‘dibesarkan’ oleh algoritma media sosial.

Sekolah juga jangan hanya fokus kepada keputusan peperiksaan. Nilai dan akhlak pelajar juga perlu diberi keutamaan. Pendidikan karakter sepatutnya menjadi nadi dalam membentuk remaja yang seimbang dan bukan hanya pandai atas kertas.

Masyarakat pula perlu lebih bijak dalam memberi perhatian. Jangan galakkan gelagat tidak senonoh dengan komen dan pujian. Apa yang kita ‘like’ hari ini boleh mencipta generasi yang kita sendiri akan takut hadapi esok.

Remaja adalah cerminan masa depan negara. Jika mereka dibentuk dengan nilai yang rapuh, jangan terkejut jika masa depan kita juga jadi rapuh. TikTok boleh jadi platform membina, tetapi jika disalah guna, ia hanya akan menjadikan generasi muda hilang arah dan nilai diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN