SHAH ALAM – Dua lelaki termasuk akauntan syarikat minyak dan gas yang menikmati ‘makanan percuma’ di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini dengan menggunakan resit pembayaran palsu telah berjaya ditangkap polis, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penangkapan mereka susulan laporan polis yang dibuat seorang peniaga wanita berusia 35 tahun dengan kejadian penipuan itu berlaku kira-kira 10.18 malam pada 14 April lalu.
Katanya, siasatan mendapati seorang pelanggan telah menunjukkan resit pembayaran dalam talian berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembelian.
“Namun, selepas semakan dibuat mangsa didapati tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun perniagaannya.
“Mangsa turut memaklumkan bahawa ini merupakan kali kedua individu sama menggunakan taktik serupa. Jumlah kerugian dialami adalah sebanyak RM 348.10,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, semakan mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing merupakan akauntan dan bekerja sendiri mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari sehingga 24 April depan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun, denda dan sebat sekiranya didapati bersalah.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal menasihatkan para peniaga sentiasa berwaspada terhadap resit pembayaran digital khususnya yang diserahkan oleh pelanggan secara manual atau tangkap layar.
“Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan,” tegasnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang peniaga kedai makan mendakwa menjadi mangsa penipuan pelanggan lelaki yang didakwa menggunakan resit palsu sebagai bukti pembayaran selama dua hari berturut-turut. – KOSMO! ONLINE