fbpx

Usia 15 tahun takluk Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ETHAN membuktikan usia muda bukan penghalang untuk menjuarai Terbuka Malaysia Antarabangsa di Sunway Mega Lanes hari ini. - FARIZ RUSADIO

SUBANG JAYA – Arena Sunway Mega Lanes bergema dengan sorakan apabila atlet boling remaja negara, Ethan Damien Goh mempamerkan aksi mengejutkan dengan kemenangan sensasi ke atas juara bertahan, Hafiz Zainuddin dalam aksi final kategori terbuka lelaki Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43.

Turun sebagai muka baharu dalam pentas senior, Ethan yang baru berusia 15 tahun membuktikan usia bukan penghalang apabila menampilkan aksi luar biasa dan mencatat jatuhan 220 pin untuk merangkul kejuaraan.

Hafiz pula sekadar menamatkan saingan dengan 180 pin dalam perlawanan akhir penuh tekanan.

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) menyerahkan mock cek dan piala kepada Ethan pada perlawanan akhir Masters stepladder kategori lelaki ketika Kejohanan Boling Terbuka Malaysia Antarabangsa ke-43 di Sunway Mega Lanes hari ini. – FARIZ RUSADIO

Ironinya, Hafiz terlebih dahulu menewaskan wakil Australia, Luke Doyle 219-182 di separuh akhir dan tampil sebagai pilihan utama, namun tidak mampu menandingi ketenangan serta fokus luar biasa ditampilkan Ethan.

Kemenangan tersebut melengkapkan minggu yang cukup cemerlang buat atlet muda berpotensi itu selepas berjaya mempertahankan gelaran kategori remaja lelaki pada minggu lalu.

Kali ini, dia melakar nama sebagai juara kejohanan terbuka iaitu satu pencapaian yang jarang diraih oleh pemain semuda itu.

“Saya masih tak percaya ini betul-betul berlaku. Ini kali pertama saya sertai format stepladder dan saya hanya cuba nikmati setiap balingan. Dapat ke final pun dah cukup luar biasa, inikan pula menang,” katanya.

ETHAN (kanan) bergambar bersama Sin Li Jane yang memenangi kategori wanita Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025 di Sunway Megalanes hari ini. – FARIZ RUSADIO

Menurut Ethan, kejayaan tersebut didedikasikan buat keluarga, barisan kejurulatihan dan semua pihak yang menjadi tulang belakang dalam perkembangan kariernya.

“Saya bangga dengan persembahan saya hari ini. Saya tak akan sampai ke sini tanpa sokongan mereka. Kemenangan ini milik semua yang sentiasa percayakan saya,” ujar atlet kelahiran Selangor itu.

Sebagai juara, Ethan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan lebih membanggakan, Ethan kini diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara dalam Kejohanan Boling Tenpin Belia Asia yang bakal berlangsung di lokasi sama pada Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI