SUBANG JAYA – Polis sedang giat mengesan dua penjenayah disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di Taman Puchong Indah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 1.43 pagi daripada seorang lelaki berusia 26 tahun.
Menurutnya, pengadu menyatakan telah meletakkan kereta jenis Toyota Hilux di luar hadapan rumah dalam keadaan berkunci sebelum didapati hilang sekitar pukul 6.30 pagi.
“Hasil siasatan di tempat kejadian dan penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) jiran, mendapati suspek iaitu dua lelaki yang menaiki motosikal berada di lokasi kejadian.
“Salah seorang suspek dilihat mendekati kenderaan milik pengadu dan membuat sesuatu menyebabkan sistem pengera berbunyi serta lampu isyarat belakang kiri dan kanan menyala sebelum membawa lari kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE