fbpx

Sultan Sallehuddin titah kerajaan perlu lindungi Hutan Simpan Ulu Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan DUN Kedah di Alor Setar, hari ini. Foto SUK Kedah

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri perlu tegas dalam melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat.

Baginda bertitah, penghasilan padi juga bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri.

“Dalam hal ini, kerajaan beta perlu tegas untuk melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat di samping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna.

“Beta amat menyambut baik Program Penanaman Dua Juta Pokok yang diterajui Jemaah Dato’ Negeri Kedah. Usaha ini perlu digembleng secara bersama oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memupuk kesedaran di kalangan rakyat beta mengenai kepentingan memelihara dan mengekalkan kelestarian alam sekitar,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Sallehuddin bertitah baginda amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara.

“Namun begitu, kawasan luar jelapang padi juga perlu turut sama diberi perhatian serius oleh pihak yang terlibat agar jumlah pengeluaran padi dapat ditingkatkan.

“Beta ingin menyarankan agar pihak MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dapat meningkatkan usaha melaksanakan kajian berterusan dan menggunakan teknologi pertanian moden khususnya dalam penghasilan benih padi yang berkualiti serta penggunaan jentera moden yang cekap,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya semua Ahli Yang Berhormat dan pihak berkepentingan agar lebih proaktif dalam menjayakan Kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Oleh itu beta menggesa agar produk pelancongan sama ada di tanah besar atau di Pulau Langkawi ditambah baik dan dinaik taraf di samping mengenal pasti produk-produk pelancongan baharu untuk diperkenalkan.

“Jaringan perhubungan dan pengangkutan juga haruslah diperkasakan terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi,” titah Sultan Sallehuddin.

Titah baginda, Tamadun Kedah Tua juga perlu ditonjolkan sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi terutama dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa sehingga membawa kepada kegemilangan warisan tamadun yang bertunjangkan agama Islam.

“Islam adalah agama rasmi berlandaskan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai penaung dan pemelihara kesucian agama Islam, beta menyeru supaya semua rakyat beta mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar.

“Bagi maksud ini, beta berharap institusi agama Islam di negeri ini dapat memastikan agenda syiar Islam dapat ditegakkan berdasarkan kepada fahaman yang benar tanpa mengorbankan perpaduan sesama umat Islam. Pada masa yang sama, agama-agama lain bebas untuk diamalkan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI