JEDDAH – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menegaskan Max Verstappen akan terus kekal bersama pasukannya pada musim 2026, sekali gus menepis spekulasi liar mengenai masa depan juara dunia Formula Satu (F1) itu.
Kenyataan itu hadir selepas penasihat Red Bull, Helmut Marko sebelum ini memberi bayangan bahawa Verstappen berkemungkinan mengaktifkan klausa keluar daripada kontraknya.
Disebabkan itu, timbul khabar angin bahawa Verstappen dikaitkan akan menyertai pasukan Mercedes atau Aston Martin.
“Khabar angin bertiup kencang di luar sana tetapi Max (Verstappen) telah menegaskan komitmennya semalam.
“Fokus kami sekarang untuk mempercepatkan jentera dan Max adalah sebahagian penting dalam usaha itu. Bagi saya, yang lain itu hanyalah spekulasi semata-mata,” kata Horner.
Ketika ditanya sama ada Verstappen akan terus bersama Red Bull musim hadapan, Horner mengakui bahawa pemandunya itu akan bersama mereka.
“Ya, sudah tentu Max akan bersama kami. Saya faham ada pihak yang risau, tetapi sebagai pasukan kami fokus kepada usaha menambah baik prestasi kereta.
“Bila kereta sudah cukup kompetitif, perkara ini tidak akan jadi isu,” tambahnya.
Media di Itali sebelum ini melaporkan bahawa Aston Martin sedia menawarkan kontrak lumayan bernilai AS$88 juta (RM417 juta) setahun kepada Verstappen untuk tempoh tiga tahun, dengan sokongan dana dari Arab Saudi.
Pasukan itu dimiliki oleh hartawan Kanada, Lawrence Stroll dan turut mendapat tajaan utama daripada gergasi tenaga Saudi, Aramco.
Verstappen yang kini terikat dengan kontrak sehingga 2028 namun dengan beberapa klausa pelepasan turut dikaitkan dengan Mercedes. – AGENSI