ALOR SETAR – Suasana sayu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini apabila beberapa rakan Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, menangis selepas melihat jenazah di dalam bilik mayat.
Mereka terpaksa ditenangkan rakan lain dan pensyarah yang turut hadir bagi menziarahi jenazah.
Allahyarham Manarina maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua bas di dalam kampus UUM di Sintok, dekat sini pagi semalam.
Jenazah penuntut semester empat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan itu dibedah siasat kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dan selesai kira-kira dua jam kemudian.
Seterusnya, jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB kira-kira pukul 1.15 tengah hari ini menggunakan van jenazah Pusat Islam UUM untuk dikebumikan di kampung halamannya di Felda Chemplak, Labis, Johor.
Kira-kira enam kenderaan UUM turut sama mengiringi van jenazah tersebut.
Terdahulu, Pengarah Pusat Islam UUM, Yusnaidi Md. Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir termasuk dalam membantu melancarkan pengurusan jenazah.
“Kalau ada kesilapan, apa-apa yang dilakukan arwah, mohon maaf kepada semua dan halalkan segala-galanya. Mudah-mudahan Allah bagi kebaikan dan syurga kepada arwah,” katanya yang mewakili keluarga di Jabatan Forensik HSB sebentar tadi.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSB pada pukul 6.30 petang hari sama. – KOSMO! ONLINE