fbpx

Polis URB minta RM1,500 daripada pengedar dadah direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anggota polis URB (kemeja-T lokap SPRM) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Dua anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman selama enam hari mulai hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM1,500 daripada dua lelaki melibatkan kes pengedaran dadah.

Perintah reman sehingga 25 April ini terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 39 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin bagi memboleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai telah meminta wang rasuah kira-kira RM1,500 daripada dua lelaki yang sebelum itu telah ditahan oleh penduduk di sebuah kawasan pangsapuri di Bayan Lepas selepas disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah.

“Ketika dibawa ke pejabat bagi urusan siasatan, salah seorang suspek meminta wang RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

“Salah seorang daripada lelaki berkenaan kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM200 menerusi aplikasi e-wallet kepada akaun salah seorang anggota terbabit yang turut meminta agar sebuah motosikal mereka ditinggalkan sebagai cagaran bagi membayar baki wang RM1,300 yang diminta,” katanya.

Sumber berkata, susulan itu, salah seorang lelaki berkenaan telah membuat aduan di Pejabat SPRM Pulau Pinang sebelum kedua-dua suspek ditahan sekitar pukul 7.30 hingga 9 malam tadi bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 19(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret George Town dalam keadaan kedua-dua tangan bergari dan mengenakan kemeja-T lokap SPRM, kira-kira pukul 9.50 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI