KUALA LANGAT – Tembakan terhadap seorang lelaki yang mengamuk dengan berparang di kawasan restoran di Banting di sini dilepaskan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pengawal keselamatan itu bagaimanapun tidak ditahan polis dan hanya dirakam keterangannya.
“Lelaki yang ditembak itu berusia 24 tahun dan mengalami patah tulang kaki kanan akibat tembakan itu,” katanya hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki cedera ditembak selepas mengamuk dengan berparang di kawasan sebuah restoran di Banting di sini, semalam.
Lelaki itu dikatakan telah memulakan amukannya di sebuah rumah dan kemudiannya mengacukan parang kepada pegawai perubatan di kawasan restoran itu.
Lelaki itu yang cedera ditembak telah dihantar ke Hospital Banting bagi menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE