MASIH banyak perlu dilakukan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menjelang temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Amerika Syarikat.
Pearly percaya kekuatan mental mereka ketika ini masih belum cukup, sekali gus sedia untuk bekerja lebih keras dan mahu melihat hasil terbaik menjelang kejohanan akan datang.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, mereka sudah mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan dalam usaha menghasilkan corak permainan terbaik untuk mencabar gandingan-gandingan ternama dunia.
“Apa yang perlu ditingkatkan buat masa sekarang dari segi mentaliti. Setiap keputusan yang dilakukan di atas gelanggang sangat penting, jadi saya fikir kami masih lemah dalam aspek ini.
“Sejak kebelakangan ini, kami sentiasa mengadakan perbincangan dengan jurulatih mengenainya dan diharapkan hasilnya boleh dilihat apabila kami beraksi pada kejohanan seterusnya,” kata Pearly kepada CGTN Sports.
Pada saingan musim ini, pasangan No. 5 dunia itu boleh dikatakan menampilkan aksi cukup konsisten selepas mara ke separuh akhir Terbuka India selain muncul naib juara Indonesia Masters pada Januari lalu.
Sementara itu, Thinaah turut senada dengan kenyataan Pearly selain menganggap aspek komunikasi menjadi kekuatan utama dalam setiap keadaan yang perlu diharungi.
“Persaingan beregu wanita sekarang semakin mencabar, kami perlu mempersiapkan mental sebaiknya. Apa yang membantu kami selama ini adalah komunikasi antara satu sama lain walaupun berada dalam tempoh sukar,” ujarnya.
Selepas ini, Pearly-Thinaah akan menggalas cabaran bersama skuad badminton negara pada saingan Piala Sudirman dijadualkan berlangsung di Xiamen, China bermula 27 April hingga 4 Mei depan.