fbpx

Manarina maut akibat kecederaan pada jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dua bas di lokasi kemalangan di dalam kampus UUM, Sintok pada semalam sehingga mengakibatkan Manarina maut akibat kecederaan dialami.

JITRA – Hasil bedah siasat ke atas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada jantung akibat hentakan atau perlanggaran kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, proses bedah siasat ke atas mangsa dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, dekat sini hari ini.

“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung yang berpunca daripada hentakan atau perlanggaran kenderaan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, pihaknya telah mengambil keterangan daripada kedua-dua pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Ujian urin yang dilakukan ke atas pemandu bas yang melanggar sebuah lagi bas di hadapannya didapati negatif dadah. Mengikut siasatan awal, pemandu bas terbabit hanya mengaku tidak menyedari bas di hadapan berhenti,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok, dekat sini kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSB pada pukul 6.30 petang hari sama.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas pertama sedang berhenti di perhentian itu untuk mengambil penumpang sebelum kenderaan itu tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi bas.

Impak perlanggaran menyebabkan bas di hadapan menggelongsor ke hadapan lalu melanggar besi penghadang jalan seterusnya menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas pertama.

Kedua-dua pemandu bas berusia 32 dan 37 tahun tidak mengalami kecederaan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI