KUALA LUMPUR – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus menjadi mangsa belasahan pasukan pencabar selepas tewas 2-5 kepada Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Turut menarik perhatian adalah tonggak tengah The City Boys, Zhafri Yahya yang menyumbangkan dua gol dan keputusan itu mengekalkan status KDN FC sebagai ‘lauk’ buat pasukan bertanding.
Terdahulu, babak pertama jelas menjadi milik KL City yang mendominasi hampir keseluruhan permainan namun sering digagalkan oleh penyudah tumpul.
Gol dicari hanya muncul pada minit ke-24 menerusi Zhafri yang tampil tenang untuk memanfaatkan ruang sempit untuk menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Alfaiz Zula’amin.
Bagaimanapun kesilapan Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-45 yang gagal melakukan hantaran ke atas dengan lebih baik membuka ruang buat Adam Danial Md Zaid meledak gol penyamaan buat KDN FC namun kurang seminit selepas itu Zhafri sekali lagi meletakkan KL City di depan.
KDN FC menyambung aksi babak kedua dengan cukup positif apabila hanya memerlukan lapan minit untuk kembali menyamakan kedudukan menerusi Fazrul Amir Md Zaman.
Usaha berterusan kapten tuan rumah, Paulo Josue akhirnya terbalas apabila berjaya menghadiahkan jaringan ketiga buat tuan rumah minit ke-71 dan selang empat minit selepas itu giliran Haqimi Azim Rosli menambah derita KDN FC.
Minit ke-86, giliran Ryan Lambert menghukum kealpaan pertahan pelawat sekaligus mengesahkan penutup paling sempurna buat KL City.
Dalam aksi berasingan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Kuching City menoktahkan musim ini dengan kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE