PETALING JAYA – “Kalau Aliff Syukri tak kahwin dengan saya pun, insya-Allah tak ada lah saya merempat tepi jalan.”
Itu respons usahawan dan bekas penyanyi nasyid, Datin Seri Shahida selepas dia dibidas oleh Datin Rebecca Nur Islam dalam sebuah video yang kini tular dalam media sosial.
Menurut Rebecca, Shahida hanyalah penyanyi nasyid sendu yang berkahwin dengan lelaki kaya. Jika dia tidak berkahwin dengan Aliff, dia kini pasti hidup merempat di tepi jalan.
Tambah Shahida dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya, dia dan Aliff juga pernah hidup susah ketika awal perkahwinan.
“Sebelum berkahwin saya ada kerja dan pendapatan sendiri. Mak ayah saya pun bukannya tak bagi saya makan. Kalau saya berkahwin dengan orang kaya, buat apa saya susah-susah berniaga di pasar. Baik duduk rumah, ‘shopping’ habiskan duit. Buat apa pagi petang siang malam saya buat ‘live’,” tulisnya.
Bekas anggota kumpulan nasyid Solehah itu turut berkongsi gambar suaminya yang sedang berniaga di pasar pada tahun 2008.
“Nasib baik saya ada bukti gambar yang diambil oleh saya sendiri ketika kami berniaga di pasar. Kalau tak mesti orang kata saya tumpang kesenangan suami,” tulisnya.
Perang kedua-dua selebriti itu tercetus selepas Shahida dikatakan menyelar tindakan Rebecca yang sering berkongsi gambar bersama ibu mentuanya iaitu Bonda Rozita Ibrahim dalam media sosial demi publisiti.
Rebecca yang berang dengan kenyataan Shahida membidasnya dengan menggelarnya sebagai mak cik bodoh dan bermulut jahat. – KOSMO! ONLINE